"Slm akhi, berikan ana sedikit kata2 nasihat....kekadang diri terasa x kuat..kalau blh sms supaya ana dpt baca nnt2."
C.Saif +20119211383
Berulang kali aku membaca mesej tersebut. Timbul rasa kekesalan dalam diri kerna terlupa untuk bertanya khabar, apatah lagi untuk bersua muka, mencuba memahami kesedihan yang dirasai oleh mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Bukan mudah untuk menerima hakikat, lebih-lebih lagi kalau perkara tersebut disandarkan sebabnya kepada kita. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Meskipun takdirnya dari Allah, tapi diri ini pastinya diselubungi kesalahan. Itu normal. Tapi di sebalik perkara yang telah terjadi, lahir hikmah yang tersembunyi, yang menjadi punca kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Pengalaman yang pahit menjadi pengajaran yang manis untuk dikongsi bersama.
Allah masih sayangkan kita. Dibiarnya kita leka, dibiarnya kita alpa, meneruskan rutin kehidupan. Semakin lama semakin terpesong dari landasan. Sesuatu perlu diubah. Tapi bila..? Diujinya sedikit dengan masalah peperiksaan, ketika itulah kaki semakin diringankan menuju ke masjid, tubuh ditenangkan dengan bangun malam dan solat hajat. Tapi itu masih tidak cukup. Mungkinkah terhenti bila tamatnya peperiksaan nanti?. Masih ada lagi yang perlu terjadi.
Badan terasa kurang sihat. makan tak lalu, tidur tak lena. Cuba untuk menelaah pelajaran. Fizikal semakin lemah. Fikiran semakin runsing. Tumpuan menghilang. Lenyap selera mengulangkaji, meskipun sedar peperiksaan semakin menghampiri. Ketika ditarik nikmat, ketika itulah terasa syukurnya apa yang pernah kita ada. Doa dipanjatkan memohon dikembalikan nikmat kesihatan. Semakin bertambah rasa pergantungan. Tapi, terasa seperti masih ada kekurangan. Di mana ya..?
Keputusan peperiksaan diumumkan. Ah.. keluhan terhembus dari mulut. Tiada siapa mahukan kegagalan. Tidak dapat balik awal kerana terpaksa menduduki peperiksaan untuk kali kedua. Hilang selera bercuti. Buku-buka yang sudah siap dibungkus kemas di atas almari terpaksa diselongkar satu-persatu. Tong sampah dikeluarkan semula isinya mencari saki baki nota yang masih tersisa. Peritnya belajar dari kegagalan. Tapi, ianya tak selamanya. Ianya adalah kejayaan yang ditangguhkan seketika hingga tiba masa kita bersedia menerimanya.
Kesalahan mengajar pelbagai erti kehidupan. Tapi, segalanya adalah demi mengharap habuan di dunia yang menjadi jambatan ke syurga. Dan mungkin juga, setelah hilang segala kesalahan dan kelemahan serta kekurangan tersebut, kita kembali semula kepada rutin kehidupan yang selama ini cuba diubah.
Tajuk berita tersebut dibaca sekali lalu. Timbul sedikit kekesalan atas apa yang berlaku. Saudara seIslam dibunuh dengan kejam, tapi mereka beruntung, kerana dijemput dalam keadaan yang baik. Permulaan yang baik pasti kesudahannya juga sesuatu yang baik. Ya, ianya permulaan kepada alam akhirat. Pengajaran yang timbul dalam diri kita hanya sebentar. Kurang mendapat tempat dalam fikiran dan semakin lama, ianya menghilang.
Kesannya kini lebih mendalam. Orang yang dikenali ditimpa musibah. Suatu pengajaran yang paling berharga dari kematian, untuk orang yang masih dikurniakan kesempatan berubah dalam kehidupan. Perginya di kala kita semua masih memerlukannya. Bukan kita sahaja, tetapi masyarakat Islam seluruhya. Dalam usaha memantapkan diri berkhidmat kepada masyarakat, dia dipanggil menyahut seruanNya, Bukan dengan seruan Azan, tetapi dengan kedatangan malaikat yang datang mencabut nyawa. Allah lebih menyayanginya, melebihi sayang kita kepadanya.
Terasa bagai ditampar, tapi seketika kemudian, hilang rasa sakitnya. Mungkin tidak cukup penangan tamparan tersebut. Daya tamparan cuba dikuatkan. Kini hidung pula yang memberi respons mengeluarkan darah. Tapi ianya tidak lama, cukup beberapa minit, kering darah tersebut. Lupa semula penangan tamparan tadi. Apa lagi yang perlu dibuat untuk menyedarkan..?. Sedikit tidak mencukupi agaknya. Tamparan demi tamparan dilepaskan. Kulit tidak mampu lagi menahan sengsara. Hancur luluh lapisan luar menampakkan daging yang masih merah bersalutkan darah. Ah..pedihnya.. Meskipun sekian lama kesan tamparan tersebut bukan dalam bentuk kesakitan, tetapi kesan tamparan yang meninggalkan parut itu masih dapat dirasai, mengulang kembali nostalgia kesalahan yang pernah dilakukan sehingga ditampar sebegitu rupa.
((Orang yang cerdik adalah mereka yang menghitung amalan diri mereka sendiri dan melakukan setiap sesuatu untuk selepas matinya. Manakala orang yang cuai pula adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya, tetapi dalam masa yang sama mengharapkan berbagai anugerah dari Allah))
Hadis nabi s.a.w
Peringatan untuk diri sendiri yang sentiasa leka dan terlupa
DariNya, Melalui mereka, Untuk kita
Post a Comment