Larva::Amarah

Sangkaan yang membawa kepada telahan, menjurus kepada taksiran akal, ditafsirkan melalui perantaraan lidah, seraya dipamerkan pada perbuatan. Asalnya dari hati, menyusup ke minda, diterjemahkan dengan percakapan lantas menjadi bahasa badan. Jikalau asalnya baik, maka baiklah yang disebarkan kepada umum. Maka pahalanya berterusan selamanya. Tetapi jikalau sebaliknya, maka mintalah perlindungan dari yang selayaknya.


Larva yang menggelegak di dalam kawah gunung, hanya menanti retakan yang menggegarkan dasar, dan bila tiba ketikanya, hanya dengan sedikit gegaran, lantas dihamburkan seluruh isinya untuk menggersangkan tanah sekeliling. Begitu juga dalam diri manusia. Hanya bila dihamburkan amarah, maka sekelilingnya mendapat tempias keburukan yang mengontangkan minda. Kekeringan dasar tempat berpijak mematikan setiap biji benih kebaikan yang mula ingin bercambah. Yang tinggal hanyalah kejian dan cercaan yang melata menambah buruknya pemandangan.





Orang yang inginkan sesuatu, maka mereka akan berusaha mencarinya, bukan sekadar duduk menanti apa yang diingini sampai kepadanya dengan sendirinya. Atau sekadar menerima apa sahaja suapan yang diberikan. Tiada gunanya berbicara pada perkara yang tiada kepastian kalau ianya pada perkara keburukan. Apa lagi kalau disebarkan ketidakpastian yang keji hanya kerana inginkan satu penyelesaian kepada kebaikan.


Ke mana arah yang harus aku lalui
Adakah masih di sini
Perih tak terhingga
Aku mengharap padaMu Tuhan
Bawalah jalan menuju cahaya
Sesal tak terkata
Kerdilnya diriku di sisiMu

Kalaulah kita berada di luar rumah, layakkah kita bercakap tentang apa yang berada di dalam rumah tersebut?. Dengan penuh rasa yakin, maka kita mengungkapkan:
"Ada satu bilik yang menyumbatkan mereka-mereka yang selari corak pemikiran penuh ketaksuban sambil menjujung siling, dipasakkan di tengah-tengahnya oleh satu tiang kata-kata semata-mata tanpa sebarang tiang kebajikan, tidak cukup nisbah campuran simen, besi dan batu bata melengkapkan binaan syumul.." dan pelbagai lagi tohmahan, sedangkan kita tidak pernah lagi masuk ke rumah tersebut. Hanya sekadar mendengar khabar angin mereka-mereka yang pernah cuba mendekat.






Usah silap mentafsir nada ayat. Perbezaan kefahaman bukan bermakna perpecahan hubungan, tetapi membuktikan keunikan setiap penciptaan.
((Yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu))