Kedatanganmu dihargai,
Pemergianmu ditangisi,
Sirahmu sumber inspirasi,
Moga syafaatmu di akhirat menanti.
Ya Nabi Salam.mp3 - Opick
Ya Nabi, Salamun Alaik
Ya Rasul. Salamun Alaik
Ya Habib, Salamun Alaik
Solawatullah Alaik
“Tidak sempurna keimanan seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintai olehnya berbanding bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya”
Riwayat Bukhari dan Muslim
Sejauh mana kecintaan kita kepadanya..?. Kalaulah ianya sekadar selawat di setiap kali solat dilakukan, mana mungkin kita mengaku cinta padanya. Sampaikah tahap cinta kepadanya hinggakan tidur tak lena, makan tak selera seperti mana kita mengenangkan orang yang kita kasihi yang tiada di depan mata buat sementara. Pernahkah kita risaukan sunnahnya yang semakin lama terabai, kerana terlalu menitik beratkan perkara remeh. Mungkinkah kita mengikut sunnahnya yang serasa mudah mengikut gerak hati dan kemudahan kita, walhal sunnahnya yang terbesar ditinggalkan kerana sukar untuk dilaksanakan dengan alasan..kita tidak sehebat baginda s.a.w.
“Dan pada Rasulullah itu contoh tauladan terbaik”. Pernahkah kita mengambil iktibar dari ayat ini. Mungkin dahulu ketika belajar Sirahnya, kita hanya diajar tentang peristiwa dan perkara yang berlaku di zaman itu, dan tidak dikaitkan dengan apa yang berlaku di ketika ini. Tapi kita semakin menginjak dewasa, sejauh mana penghayatan kita tentang sirahnya untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selangkah demi selangkah jalan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat r.a. ketika berhadapan dengan masyarakat. Bukankah di kala ini, perkara sama jua berlaku dalam masyarakat..? Mungkin sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w mereka diistilahkan sebagai kaum jahiliyyah, tetapi kini, ianya telah diistilahkan semula atas nama kemodenan.
Wanita berbangga dengan tabarruj, dan lelaki tiada lagi segan silu jika digelar dayus.. Inilah kebebasan di zaman Jahiliyah, tanpa agama yang kononnya mengongkong kehidupan. Kembali ke zaman Nabi s.a.w. Perkara sama jua yang berlaku di setiap masyarakat, tapi tindakan yang membezakan antara keduanya. Bermula dengan mempamerkan akhlak yang baik, Rasulullah s.a.w mengorak langkah, meskipun sebelum diturunkan wahyu. Hinggakan beliau dikagumi dan menjadi rujukan permasalahan masyarakat. Setelah diturunkan wahyu pertama, Nabi s.a.w berterusan mengajak secara sembunyi untuk kemaslahatan dakwah.
Ingatkah kita peristiwa ketika Rasulullah s.a.w mengumpulkan kaum kafir Quraisy di atas satu bukit, dan itulah detik permulaan dakwah secara terang-terangan. Beliau bertanya: Adakah kalian percaya jika aku katakan bahawa di sebalik bukit ini ada tentera yang akan menyerang kamu. Maka mereka mengiyakan penyataan Rasulullah s.a.w tanpa sebarang ragu-ragu, kerana mereka meyakini bahawa beliau s.a.w tidak pernah menipu. 3 tahun selepas turunnya wahyu pertama..tanpa sebarang perbuatan yang menjejaskan kepercayaan masyarakat kepadanya.
Mustahilkah untuk memperbaiki diri supaya menjadi baik serta dapat membuatkan orang lain menjadi baik. Biarkan perbuatan menjadi jawapan, bukan sekadar luahan perkataan.
[Pengakhiran segala Nabi – Abu Hasan Ali An-Nadawi
Buku yang diedarkan secara percuma selepas solat sempena Maulid Rasul, tapi apakan daya, bilakah agaknya ia akan dibelek untuk diambil permata yang tersirat di dalamnya~]
Amanah terbesar yang diwariskan kepada umatnya..DAKWAH kepada Allah. Sejauh mana kita telah mempersiapkan diri menjejaki cara dakwah Nabi s.a.w. Pernahkah kita dibaling batu sehingga terluka sepertimana ianya berlaku ketika dakwah Nabi ke Taif. Pernahkah kita dibaling dengan najis dan kotoran semasa melalui jalanan sepertimana yang dilalui Nabi? dan pernahkah ada konspirasi yang dirancang secara terperinci untuk menjatuhkan, bahkan sehingga tahap kita dibunuh hanya kerana dakwah yang kita lakukan. Bahkan, jauh sekali dari apa yang pernah menimpa Baginda s.a.w. Tapi, mengapa hati ini masih berat untuk melaksanakan…?
Kita tidak dibebankan melainkan sekadar kemampuan. Tugasan tak akan selesai sehinggalah tertegaknya sistem khilafah, atau tertanamnya kita di kuburan, meskipun tak sempat untuk kita menikmati hasilnya. Allah memberikan ganjaran atas kualiti usaha, bukan atas kuantiti hasil. Tak semestinya orang yang berusaha banyak akan mendapat hasil yang membanggakan, dan hasil yang membanggakan tak akan datang bergolek tanpa didahului usaha. Di pengakhirannya, bergantung kepada Ar-Rahman untuk mengganjari setimpal dengan apa yang telah kita usahakan.
Post a Comment