Sejernih::Air


Sejernih air - DmenC

Bumi Mansurah disirami air langit untuk hari keduanya berturutan. Tapi air rahmat ini lain dari yang sebelumnya. Kesejukan memang semakin terasa, terutama pabila bangun dari tidur. Selimut yang tebalnya tak sampai seiinci inipun amat sukar dikuak untuk menyahut seruan Ilahi. Syaitan masih lagi bergayut di tubir mata, meniupkan semangat untuk kembali melelapkan mata, walaupun telinga telah mendengar sayup-sayup seruanNya memecah keheningan pagi.

 

Photo0158

Air yang membasahi jalan pun setia mengikut perintahNya. Tapi manusia yang diberi akal oleh Allah, masih lagi setia mengikut nafsu. Benar firmanNya yang bermaksud ((Kalau sekiranya kami menurunkan Al-Qur'an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir))

Hujan yang membawa rahmat, menandakan yang Allah masih lagi sayangkan hambaNya,  masih membuka peluang  taubat untuk mereka, dan masih mengkabulkan hajat mereka. Solat Istisqa’ (meminta hujan) yang dilakukan di beberapa masjid di Mansurah selepas solat Jumaat benar-benar membuahkan hasil. Tak sampai 24 jam, hujan turun sepertimana yang dikehendakiNya.

Tetapi, kali ini, ianya terjadi bukan seperti yang kebiasaannya. Tiada lagi kedengaran rungutan kerana palitan lumpur coklat gelap. Tiada juga kelihatan kenderaan yang menyusuri jalan raya bagaikan kerbau yang baru pulang dari berkubang. Alangkah baiknya kalau ianya berterusan, seiring dengan berterusannya pergantungan kita kepadaNya.

Photo0014

“Kita adalah satu umat, biarpun kita di bandar, dan tidak memerlukan hujan, tetapi mereka di pedalaman amat mengharapkan air dari langit untuk menyuburkan tanaman mereka.” Atas dasar inilah khatib di mimbar Jumaat menyuarakan pendapat untuk diadakan solat sunat Istisqa’. Kebersamaan mereka masih lagi jitu. Ukhuwwah yang lahir atas dasar keimanan menyebabkan hati ini tidak akan tenang melihat musibah yang menimpa orang lain. Ikatan yang jauh lebih berharga dari ikatan kekeluargaan serta keturunan. Mereka membenarkan sabda junjungan besar s.a.w “Tidak akan sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri”