Apa Erti?


Kematangan berkadar langsung dengan keseriusan. Mungkin nilaian umur juga boleh dijadikan pembolehubah tambahan, kerana ianya bukan sesuatu yang berkadaran malar. Begitulah sifirnya secara rumit. Pendek kata, orang yang serius membincangkan isu yang serius kerana mereka memikirkan penyelesaian secara matang. Tapi orang yang tidak serius, bila berbicara tentang isu yang serius, maka respon mereka hanya ikut suka rasa berdasarkan emosi semata tanpa memikirkan kebenarannya.

Tapi jangan tersilap sangka, tidak serius bukan bermakna tidak matang. Dengan bergelak ketawa, bergurau senda bukan tanda masih kebudak-budakan, tetapi ada perkara yang tidak perlukan keseriusan berlebihan hingga menjadi pergaulan yang bosan. Tetapi perlu diingat bahawa setiap suatu perkara, ada tempatnya, dan ada hadnya.

Biasanya, manusia akan serius bila perkara yang dibincangkan berkaitan dengan isu dirinya, masa depannya. Contoh mudah, isu perkahwinan yang setakat ni menurut pengamatanku, kalau ada perkongsian pengalaman atau yang berkaitan dengannya, mudah sahaja untuk dibincangkan dengan serius walaupun kadangkala diselit gurauan nakal.


Bagaimana pula dengan isu-isu masyarakat? Adakah kita mengambil serius? atau sekadar membaca tajuk berita tanpa rasa ingin tahu secara terperinci dan mencari jalan penyelesaiannya? Mungkin kita masih berasa keberadaan kita di zon selesa walaupun realitinya tidak begitu di Malaysia nanti.

Kita terasa ingin bekerja, tetapi tidak tahu kerja apa yang perlu dilakukan. Kita ingin bekerja bersama, tetapi masih tidak berjumpa sesama siapa ingin kita teruskan. Sekeliling penuh dicemari dengan khabar-khabar angin, cacian-cacian, kutukan-kutukan yang menyerabutkan pemikiran dan mengacau penilaian. Maka, kita mengambil jalan tengah dengan berdiam diri, mengharapkan masalah sampingan selesai dahulu baru memikirkan dengan siapa ingin kita sertai untuk menggerakkan amal. Sedangkan tanpa kita sedar, masalah utama kita tangguhkan hanya kerana menunggu penyelesaian masalah sampingan yang tidak berkesudahan.


Bagaimana untuk memilih, apa ciri-ciri dan persediaan yang perlu ada pada harakah islamiyah?. Menurut Fathi Yakan dalam bukunya, apa ertinya saya memeluk Islam telah menggariskan ciri-ciri untuk kita membuat penilaian sebelum membuat pilihan.
  • Gerakan yang bersifat Rabbaniyyah
  • Gerakan yang bersifat tersendiri
  • Gerakan pembawa kemajuan
  • Gerakan yang syumul
  • Harakah yang menjauhi perselisihan masalah fekah
Inilah prinsip yang perlu ada pada harakah islamiyah. Namun tidak cukup sekadar itu. Ada beberapa lagi ciri-ciri khusus yang diperlukan untuk melengkapi prinsip yang tersenarai di atas.
  • Menjauhi pengaruh pemerintahan dan ahli-ahli politik
  • Beransur-ansur dalam setiap gerak langkah iaitu pengenalan, pembentukan dan seterusnya pelaksanaan.
  • Mengutamakan kerja dan hasil daripada propaganda
  • Siasah nafas panjang
  • Amal:terus terang, Tanzim:Rahsia
  • Pengasingan jiwa, bukan jasad
  • Matlamat tidak menghalalkan cara.
Inilah antara ciri-ciri yang digariskan oleh Fathi Yakan dalam bukunya. Namun, setiap isi yang ada, perlukan penerangan yang lebih mendalam dan pembacaan yang lebih terperinci serta perbincangan dengan mereka yang berpengalaman. Maka, ambillah apa yang baik darinya untuk dijadikan petunjuk dan aras membuat pemilihan.
Selamat berfikir,dan selamat beramal~