Aku kenal beliau sejak dari sekolah rendah lagi, kemudian berpisah seketika untuk menghabiskan zaman kanak-kanak, dan dipertemukan semula pada zaman awal remaja di Maahad Al-Manar. Di akhir zaman menengah, kami mengambil keputusan untuk sama-sama memasuki SMIAAG untuk menduduki SPM di sana.
Nak cerita pengalaman manis, pasti banyak yang ingin diungkapkan, tapi cukuplah sekadar aku simpulkan bahawa kami berdua amat rapat dari dulu. Tetapi disebabkan oleh tika ini kami dipisahkan oleh jarak dan masa, maka kurang waktu dapat dihabiskan bersama dengan komitmen dan tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan.
Beliau memang matang dalam cara berfikir, berani menyuarakan pendapat, dan antara yang terkedepan dalam setiap bidang yang diceburinya seperti bola sepak, seni muzik, pelajaran, dan lain-lain.
Tapi bukan itu yang ingin dikedepankan di sini. Aku secara jujur menghormati pendapat yang beliau utarakan, dan mungkin ianya menjadi muhasabah untuk diri sendiri menilai sejauh mana aku sudah faham agenda yang ingin dibawa oleh jemaah.
Kami pernah bersama duduk berbincang di suatu petang, 3 tahun yang lalu, tentang mahasiswa dan peranan kami di institusi pengajian. Antara perkara yang dibincangkan ialah isu kepelbagaian jemaah dan konflik sesama mereka. Dan beliau bertegas menyatakan bahawa yang diyakini olehnya ialah ......, tetapi bagi aku, yang penting ialah bersama jemaah yang dirasakan paling tepat setelah menilai pilihan-pilihan yang ada. Kalaulah selesa dengan gerak kerja cara begini, maka berilah komitmen dengan gerak kerja jemaah tersebut. Yang penting, ada dalam jemaah, tidak kiralah mana-mana pun hasil ijtihad kita, dan beramallah sebanyak mungkin.
Aku menulis pos ini bukan bertujuan untuk membangkang atau membalas balik apa yang ditulis oleh sahabat baikku ini, tapi sekadar untuk menyatakan bahawa aku yakin dan faham apa yang ISMA inginkan dengan slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat". Kalaulah aku ingin lebih memahami, maka yang aku tanya adalah mereka yang menimbulkan istilah ini, sama ada pimpinan mereka, atau ahli-ahli mereka, dan mungkin aku bertanya apa yang difahami oleh orang luar supaya aku dapat membuat penilaian sewajarnya tanpa dipengaruhi oleh satu pihak semata-mata.
Pada permulaannya pun, aku juga musykil dengan slogan yang dibawa. Bukankah ianya slogan yang terang-terang racist?, wujudkah dalam Islam semangat kebangsaan? apakah yang dimaksudkan dengan asabiyyah? adakah semua asabiyyah itu buruk dan perlu ditolak?, dan pelbagai lagi persoalan yang menyebabkan aku tidak setuju dengan apa yang ingin dibawa.
Semua soalan tersebut terjawab bilamana Presiden ISMA datang sendiri ke Mesir untuk menerangkan dengan lebih jelas kenapa relevannya perkara ini ditimbulkan di Malaysia. Kemudian dibawakan hujah dari Al-Quran, Sirah dan daripada Himpunan Risalah Hasan Al-Banna. Dari mula lagi, aku merasakan bahawa slogan ini akan ditentang dan dikritik secara habis-habisan oleh mereka yang baru sahaja mendengar, tetapi tidak berusaha untuk memahami daripada pimpinan ISMA sendiri, ataupun terlampau ego dengan tokoh mereka, serta tidak dapat menerima perkara yang mungkin mengancam survival mereka.
Mungkin ada yang setuju, dan mungkin ada yang tidak setuju. Yang setuju, maka tingkatkan amal untuk merealisasikan agenda yang dibawa dan memahamkan masyarakat sekeliling tentang apa sebenarnya yang diinginkan. Yang tidak setuju mungkin mereka ada cara lain, atau masih kurang memahami apa sebenarnya yang ingin dibawa.
Kepada yang ada cara lain, mungkin anda boleh kongsikan dengan kami supaya sama-sama saling boleh mengambil manfaat antara satu sama lain dan saling memperingatkan serta muhasabah setiap gerak kerja yang dilakukan. Dan yang tiada solusi lain serta tidak ingin memahami apa yang ingin dibawa, daripada anda membuang masa membangkang, baik anda fikirkan dan cari solusi kepada masyarakat melayu yang majoritinya Islam bagaimana cara terbaik untuk mengembalikan Islam pada tempat yang selayaknya, di Malaysia khusunya sebelum kita pergi ke peringkat antarabangsa.
Sedarilah bahawa kami yang sudah faham akan meneruskan perjalanan untuk merealisasikan agenda tersebut selagimana ianya masih relevan. Dan mungkin suatu masa nanti, ada solusi yang lebih tepat untuk dilaksanakan, maka slogan tersebut akan ditukar untuk menyesuaikan dengan zaman dan keadaan, kerana ianya bukan perkara thawabit (tetap).
Slogan tersebut hanya berkuatkuasa di Malaysia berdasarkan waqi' di sana, dan bukan untuk dicanangkan kepada masyarakat melayu di Mesir ini untuk direalisasikan di sini. Cuma mungkin apa yang dikhabarkan sekadar menambah pemahaman apa yang perlu diutamakan untuk dilaksanakan sekembalinya kita ke Malaysia. Tetapi mungkin kerana disumbat secara berlebihan maka, fokus lari daripada perkara yang lebih perlu diutamakan:
Membina Generasi Harapan