Pelabuhan::Bahagia

Sabtu yang lalu, bersamaan 26 Disember 2009, Kelab Kelas Form 4 atau lebih spesifiknya Kelab Peminat Ketua Kelas telah mengadakan satu lawatan sambil berbelanja ke Pelabuhan Bahagia (Port Said. Baca: Bur Sa3eid). Pengarah Misi, saudara Romadonazikri dibantu oleh Penasihat merangkap Ketua Kelab Peminatnya, saudara Hanif Nawawi telah mengatur program sehari bersosial ini sejak seminggu yang lalu untuk memastikan program ini berjalan lancar seperti yang dirancang.

Seramai 10 orang mahasiswa terdiri daripada ahli berdaftar dan pengikut tegar menyertai misi ini. Jumlah yang pada perkiraan awalnya seramai 12 orang mahasiswa, tetapi seorang daripadanya menarik diri di saat akhir dan seorang lagi terpaksa ditinggalkan kerana keterlewatan serta kegagalan pihak pengurusan menghubunginya.

Para peserta berkumpul seawal jam 12 tengahari selepas solat Zohor di Masjid Samanoudi. Sebuah van telah tersedia diparkir di perkarangan masjid seawal jam 11.50 tengahari untuk membawa mahasiswa-mahasiswa perubatan dan pergigian mengharungi misi ini. Van bergerak meninggalkan kawasan Tir'ah pada jam 12.40 tengahari setelah semua peserta mengambil tempat. Perjalanan dimulakan dengan bacaan doa menaiki kenderaan beramai-ramai diikuti dengan doa tidur secara bersendirian.

Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam melalui jalan lurus 4 laluan 2 hala tanpa gangguan pondok tol yang merentangi jalan. Kiri kanan jalan pula kelihatan lautan air yang tenang bagaikan menyusuri denai antara 2 tasik. Jalan juga agak lengang daripada kenderaan. Hanya sekali-sekala kenderaan mewah meluncur laju melewati van yang kami naiki.

Kami tiba di Port Said lebih kurang pukul 2.40 petang. Di sana, kami diberi taklimat ringkas sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Pengarah memberi had masa sehingga pukul 8 malam dan semua orang mesti berkumpul di tempat itu semula tepat pada waktunya untuk bertolak balik. 5 jam masa yang diperuntukkan. Sempatkah menyelesaikan misi dengan jayanya..?

Azan Asar berkemundang sejurus kami ingin memulakan pencarian di Pasar Lama. Kami singgah sebentar menyelesaikan tanggungjawab yang lebih utama sebelum menyambung misi lawatan. Sejurus selepas itu, misi mencari dimulakan. Segala macam kedai dimasuki, segala macam ayat dituturkan untuk memastikan perbelanjaan yang berbaloi dan hasil yang memuaskan. Bermulalah proses tawar-menawar dan rajuk-merajuk untuk mengambil hati para penjual agar mengurangkan harga semaksima mungkin.

Perut makin lapar, tetapi mata masih aktif melilau. Nafsu mata yang membuak-buak mengalahkan nafsu perut yang meronta-ronta untuk diisi. Azan Maghrib yang berkumandang menandakan tibanya waktu berbuka puasa sempena puasa sunat 9 Muharram pun buat sedar tak sedar sahaja. Tangan masih sibuk membelek-belek baju sejuk dan kot panjang, tak berkesempatan menyambar air mahupun roti yang sejak tadi disediakan sebagai bekalan mengalas perut.

Akhirnya, kocek yang semakin ringan ditampung dengan bebanan di tangan yang semakin memberat. Tapi keinginan masih tak berkurangan. Ada sahaja benda yang memikat hati. Namun, ianya tak kekal lama. Akhirnya, nafsu menyambar barang mengalah apabila ditampar oleh penangan perut yang makin menuntut dan mendesak agar diberikan pula haknya.

Dalam perjalanan menuju ke Pasar Baru untuk menikmati hidangan, kami singgah sebentar untuk melaksanakan solat Maghrib dan Isya secara Jama' dan Qasar. Setelah itu, kami menuju ke kedai makanan laut untuk menikmati juadah malam sebelum menyambung kembali pencarian yang masih belum berkesudahan.

Tepat pukul 8 malam, kami berkumpul semula di kawasan yang dijanjikan. Beberapa peserta tiba lebih awal, tak sabar-sabar untuk kembali ke Mansurah setelah hajat tercapai. Cuma beberapa orang terlewat seminit dua. Mungkin akibat ralit seketika atau tersesat tidak jumpa jalan pulang.

Van mula bergerak menuju Mansurah tepat jam 8.15 malam. Namun, pelbagai halangan terpaksa ditempuh untuk keluar dengan selamat dan selesa dari pekan Port Said. Antara halangan yang dihadapi ialah tandas awam, checkpoint keselamatan, dan pegawai penguatkuasa membanteras barang-barang penyeludupan. Alhamdulillah, kami berjaya menempuh halangan-halangan tersebut dengan selamat, tanpa seorangpun tercicir atau ditinggal. Jam menunjukkan pukul 8.40 malam.

Perjalanan balik diselubungi kabus tebal. Pandangan hanya 1 meter di hadapan menyulitkan kami menikmati keindahan waktu malam. Hanya kelihatan seakan-akan asap putih yang tebal menyelubungi van di tengah kesejukan malam. Tapi pemandu yang diupah amat berpengalaman "Aku tak risaukan kabus yang tebal sampai tak nampak apa-apa langsung, tapi aku risaukan mereka-mereka yang berhenti di tepi jalan dan tak bagi tanda langsung" ujarnya.

Akhirnya, kami selamat tiba di bumi Mansurah pada pukul 10.30 malam dengan selamatnya. Misi kemudiannya diteruskan lagi dengan menikmati hidangan teh panas di rumah saudara Firdaus selaku unit tugas -tugas khas, sambil menggayakan pakaian yang baru dibeli dan mengiri hatikan mereka yang tidak turut serta dalam misi kali ini.

Rata-rata mahasiswa amat berpuas hati dengan misi kali ini. Meskipun ada yang pertama kali datang semenjak hampir setengah kurun berada di Mesir ini, tapi perjalanan kali ini meninggalkan kesan kekeringan kocek yang mendalam. Namun, tampak jelas kepuasan 2 tahun sekali bagi majoriti mahasiswa dalam mengharungi misi lawatan sambil berbelanja ke Port Said. Diharapkan selepas ini, ada lagi kesinambungan program sebegini untuk memupuk budaya bersosial bukan hanya di dalam kuliah, tetapi juga di mana-mana komuniti mahasiswa berada.

4 Responses so far.

  1. tertubuhnya kelab baru..

    "kelab peminat ketua kelas"

    saya dengan ini menyokong penubuhan kelab ini atas dasar mensosialkan budak-budak kelas form 4!!

    ~bersosial sambil berukhuwah~

  2. EamZ says:

    Ha..semangat camni la kite nak..
    nnt aku soh hanif letak jawatan..ganti dgn kau

  3. " EamZ said...

    Ha..semangat camni la kite nak..
    nnt aku soh hanif letak jawatan..ganti dgn kau "

    oo baem..ko la yg buat konspirasi utk ak ltk jwtn ye? mujur la ak resigned awal2..haha..

    peace baem

  4. EamZ says:

    Erk...akukah yang merancang konspirasi ini..?Aku cuma bg cadangan pengganti kau di masa hadapan..haha..tp roma gak yg naik..