Lama aku merenung untuk memikirkan apa yang perlu dibicarakan. Hajat menulis sempena kempen Hisbah “Stand for solat, Cover with hijab”sebelum ni pun masih lagi tersimpan kemas sebagai draft dalam Windows Live Writer . Bukannya aku ingin bertangguh, tapi idea datang tidak menentu. Banyak yang perlu diungkapkan. Tapi bilamana ada kesempatan duduk di hadapan laptop, semuanya hilang, tinggallah aku terkial-kial mencari isi yang bersesuaian untuk dikongsi.
Isu di Mansurah baru-baru ini pun masih belum mampu dirungkaikan sepenuhnya. Mengapa begini jadinya..? Musim peperiksaan yang semakin mendekat ditenggelamkan oleh perbincangan yang langsung tak membawa kepada bertambahnya amalan, bahkan makin melambatkan gerak kerja. Selagi mana kita berfikir bahawa kepelbagaian kelompok yang membawa Islam adalah punca perpecahan, selagi itulah kita sendiri tanpa disedari yang menganjurkan perpecahan, kerana kita tak mampu untuk menerima kebaikan dari orang lain. Maka kita secara spontannya akan menyalahkan kumpulan lain. Kalaulah kita mampu berlapang dada dan berbaik sangka walaupun berlainan kumpulan selagimana tidak bertentangan dengan Al-Quran dan syariat, bukankah itu satu kesepakatan.
((Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.)) Al-Hujurat:6
Aku tak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak, yang mendakwa, dan yang didakwa. Tapi jangan sempitkan minda anda dengan kenyataan sebelah pihak tanpa mendapatkan penjelasan dari pihak lain. Terkadang kita terlampau mempercayai sesuatu yang selari dengan kefahaman kita tanpa mengendahkan dari mana sumber tersebut datang. Macam isu memboikot barangan Israel: KFC dan Pizza Hut dengar cerita dah tak diboikot sebab bla..bla..bla.. katanya “ “. Maka kita melonjak kegembiraan kerana tamatnya ’penyeksaan’ menahan perut dan hawa nafsu dari perkara yang disukainya, walaupun entah dari mana sandarannya. Walhal ketika mula diboikot, heboh bertanya mana buktinya dan sumbernya.
Ingat..tiada manusia yang sempurna selain Rasulullah s.a.w. Terimalah kebaikan dan kelemahan orang lain. Yang baik, kita sokong, meskipun dari kumpulan mana pun kerana kita adalah orang yang ingin bersama-sama menyemarakkan kebaikan, dan kita bukanlah seorang hakim yang menghukum, menentukan pahala atau dosa kepada orang lain. Jangan sempitkan kepercayaan kita atas sentiman jemaah semata-mata..Apa yang dibuat oleh jemaah sendiri adalah betul semuanya, dan apa yang orang lain buat, terpesong segalanya dari istilah membuat kebaikan. Janganlah kita menjadi bebanan kepada orang yang ingin menggerakkan dakwah. Pastikan apa yang kita tahu, bukan sekadar tahu tapi tak pasti.
Post a Comment