Teringat nostalgia lama.. ketika aku masih lagi bersekolah di sekolah rendah. Keinginan yang ingin dipenuhi menyebabkan aku sanggup menipu ibu bapa aku. Tidak perlu berfikir panjang, hanya sedikit helah untuk melepaskan diri dari halangan yang dihadkan oleh ibu bapa aku.
Situasinya mudah, aku ingin pergi melihat konsert bersama abang aku. Cuma, kalau aku minta izin untuk pergi dengan si B, pastinya hajat itu tak kesampaian, kerana mak aku kenal siapa si B itu dan susah untuk memberi kepercayaan untuk aku berkawan dengannya. Sementara aku dengan si A agak baik hubungannya antara emaknya dan emakku. Maka dengan memberi alasan aku pergi dengan si A, maka mudahlah tercapai hasratku tanpa banyak soal.
Abangku sendiri pun tidak mengetahui rancangan aku hinggalah ketika dalam perjalanan dibonceng dengan berbasikal, aku menerangkan padanya. Dia pun pada mulanya agak ragu-ragu, tapi setelah aku memberi sedikit keyakinan, maka dia pun menukar haluan kayuhan basikal ke rumah si B untuk meneruskan perancangan. Cukup seronok malam itu. Yelah, pertama kali dapat keluar malam dengan kawan-kawan, tengok konsert pula tu, sampaikan tidak sedar hari sudah larut malam.
* * * * *
Tapi libasan rotan yang diterima menyebabkan pengalaman tersebut masih lagi terlekat dalam ingatan. Kerana ayah yang merotan, bukan emak seperti selalunya. Nak membandingkan mana yang lebih sakit, tentunya sukar untuk diberi keputusan, tapi untuk membandingkan mana yang paling memberi kesan, sudah tentulah libasan rotan ayah. Kerana jarang dapat aku lihat reaksi mukanya sebegitu. Hanya emak yang bersuara memarahi kami. Ayah hanya duduk di sisi merenung kami. Kami pula hanya tunduk diam membisu seribu bahasa, tiada apa yang perlu dijelaskan, kerana kesalahan telah terbukti. Kami akur.
Itulah ayah. Kurang bersuara, tapi bila tiba masanya, pastinya ia akan menghasilkan kesan yang amat mendalam. Beliau tidak banyak bercakap mahupun menceritakan kisah hidupnya sebelum ini. Hanya emak yang membuka cerita. Itupun kadangkala ayah akan menyampuk, menafikan apa yang emak ceritakan. Kami adik-beradik hanya tersenyum melihat mereka berdua. Lucu melihat tanggapan yang kadangkala berbeza antara kedua-duanya.
Aku sendiri jarang bercakap dengan ayah, mungkin kerana tak banyak kuantiti masa bersamanya. Bukan bermakna beliau sibuk hinggakan mengabaikan anak-anaknya, cuma beliau tidak sempat untuk mengambil tahu hal ehwal anak-anaknya yang 11 itu. Pernah beberapa kali beliau ditawarkan untuk naik jawatan seperti yang diceritakan oleh emak, tetapi beliau akan menolaknya kerana beliau sedar, jawatan yang lebih tinggi bermakna kuantiti komitmen kepada kerjanya pasti melebihi kuantiti komitmen kepada anak-anak.
Kini kami sudah menginjak dewasa, sudah tahu berfikir baik dan buruk. Maka kuranglah perlunya tumpuan kepada kami berbanding ketika kami kecil dahulu. Tapi, keperluan untuk menyara kehidupan kami semakin bertambah. Maka beliau rela menerima tawaran kenaikan pangkat untuk menampung perbelanjaan seharian. Mungkin beliau agak sibuk berbanding sebelum ini dengan meeting, outstation , training dan sebagainya. Tapi kami faham keadaannya.
Yang paling aku kagum pada beliau ialah sikap berpadanya. Hinggakan aku sendiri segan meminta daripadanya melebihi keperluan. Bayangkan pekerja bawahannya memakai kereta mewah seperti perdana, civic, merc, naza ria dan sebagainya, tapi beliau hanya menaiki kereta Iswara ke tempat kerja. Itupun kereta yang dipasang dengan tong NGV untuk menjimatkan perbelanjaan minyak saban hari berulang alik ke pejabat. Kadang-kadang aku tersenyum sendirian memikirkan gelagat beliau. Biarlah apapun tanggapan orang, asalkan ianya ada nilai di sisi Allah.
Amat besar pengorbanannya tak mampu dinilai. Mustahil juga untuk dibalas dengan ucapan mahupun perkara kebendaan. Dialah satu-satunya dan selamanya menjadi kebanggaan di hati ini. Semoga hari-hari mendatang yang akan ditempuh menambahkan lagi perasaan kasih sayangku kepadanya..amiin
sekamat hari bapa..