Taufan::Tohmah

Matanya masih lagi merenung tepat ke skrin komputer riba sambil tangannya memulas roda tetikus. Silauan cahaya dari skrin komputer 13 inci itu dibiarkan menusuk bebola matanya. Matanya masih tidak berkelip membaca setiap patah perkataan yang tertera di hadapannya. Artikel tersebut benar-benar menarik perhatiannya. Digagahkan juga dirinya membaca hingga ke pengakhiran.

"Menarik.." getus hatinya. Sudah lama dia menunggu peluang ini melihat sendiri tohmahan yang dilemparkan. Kini ianya terbukti di hadapan skrin, disebarkan ke seluruh pelosok tempat melalui dunia tanpa sempadan. Tapi entah bagaimana pula kebenaran situasi yang terjadi di depan mata. Ataukah ianya sekadar tuduhan liar memperlihatkan kebenaran yang mereka bawa dengan menghentam mereka yang tidak sealiran dengan mereka?



Isunya sudah lama berzaman, tapi sentiasa diulang-ulang agar ianya nampak relevan, terutamanya buat para pelajar yang baru berpijak sementara di bumi berkat ini. Tak kurang juga beberapa isu baru yang ditimbulkan. Mana mungkin tersilap langkah sedikit, pastinya akan diperbesarkan dan dihebahkan atas alasan mencegah munkar. Habis satu dunia dijajanya dengan cerita yang entah di mana hujung pangkalnya, entah ke mana pula kebenarannya. Hanya bersandar telahan hati dan sangkaan-sangkaan liar tanpa niat mencerahkan kekaburan sebelum mendatangkan penyelesaian. Mungkin penyebaran keburukan yang dilakukan oleh orang lain adalah penyelesaian yang paling berkesan?.

Puncanya masih kabur, kebenarannya masih lagi samar-samar, sumbernya masih lagi belum dapat dipastikan dari mana, tapi cepat saja ianya diisukan. "Mereka ini memang kerjanya mencari kesalahan orang je ke..?" Hatinya mula menyangka yang bukan-bukan. Kalaulah bukan kerana dia sendiri yang mengalami isu yang ditimbulkan, sudah tentulah mudah sahaja dia mempercayai segala tohmahan yang dilemparkan.

"Apakah yang wajar dilakukan olehnya..?, menangkis tohmahan atau membiarkannya tersebar tanpa sebarang penjelasan..?". Azree semakin berasa serba salah. Boleh sahaja dia membela diri. Tapi, selesaikah masalah?

"Ah..perkara sama yang berlaku, letih sahaja menjawab, mereka hanya nak membenarkan perlakuan mereka, bukannya menerima kebenaran yang kita cuba perjelaskan.." Dia sudah serik. Buang masa sahaja melayan mereka. Alih-alih, kerja yang patut dibuat terbengkalai, dek melayan kerenah mereka membalas-balas kenyataan rasmi. Kebenaran hanya pada mereka. Mana mungkin mereka mengiktiraf kebenaran dari pihak lain.

"Tapi, takkanlah diam membisu seribu bahasa.? Kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah. Kalaulah aku senyap jer, mungkinkah orang akan menganggap aku takut memberi penjelasan kerana berbuat kesalahan..?" Dia semakin keliru. "Tidak ada langsungkah peluang menjelaskan keadaan sebenar membela diri..?", hatinya menimbulkan persoalan.

Akalnya ligat memikirkan penyelesaian terbaik. Manakah antara keduanya yang paling kurang memberi kesan buruk jika dia diberi peluang untuk memilih?. Azree semakin buntu..


3 Responses so far.

  1. donsung says:

    InsyaAllah.. Allah tak akan sia-siakan hambanya yang benar.

    Terkadang, ada manusia yang merasakan dirinya sungguh baik hingga tertutup matanya untuk memandang kebaikan yang ada pada orang lain pula. Sudah namanya manusia kan~

  2. tentera Allah says:

    Ada kalanya diam itu mendidik. Berfikirlah dengan imanmu, jangan dikuasai nafsu.

    Mereka bukan musuh kita, masih banyak jahiliyyah dan taghut yang perlu ditentang. Masih banyak jiwa-jiwa yang perlu diselamatkan.

  3. bile le org tua ni nak update....