Mansurah semakin tenang. Ribut-ribut persengketaan sedikit demi sedikit berlalu. Badai darah haiwan korban semakin kering dari jalanan. Yang tinggal hanyalah sepoi-sepoi bauan daging segar yang menusuk hidung bercampur baur dengan sisa-sisa batu api yang dinyalakan oleh mereka yang cuba menghidupkan bara arang yang sudah semakin kusam.
Kesibukan membuat kebaikan menyempitkan ruang membuang masa menabur onar. Hasil yang walaupun tak sempurna, tapi sewajarnya pujian didahulukan, bukan dikeji bagaikan tiada langsung kebaikan. Sesiapa yang datang melihat pastinya teruja, tak tersangka, bagaimana andaian-andaian liar boleh timbul.
Melihat mereka yang bertungkus lumus bersengkang mata mengerah kudrat menimbulkan rasa kasihan untuk menghulurkan tangan memberi bantuan. Tak tergamak rasanya untuk menambah berat bebanan tanggungjawab yang sedia digalas, melarikan fokus kepada perkara yang berlainan gerak kerja pelaksanaan.
Mana mungkin menjawab 2 persoalan yang berlainan dengan 1 jawapan. Dan kemungkinan tak semua orang perlu memberi jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan. Apa lagi kalau menjawab dengan pendapat peribadi tetapi yang mendapat tempias kesan buruk adalah orang-orang sekeliling.
Berdiam bukan bermakna lemah, goyah, tak tetap pendirian. Itu adalah mentaliti pengecut. Tapi diamnya kita adalah kerana mengatur langkahan, membincangkan kelemahan, mencari penyelesaian, dan seterusnya menjernihkan keadaan. Tidak perlu kepada pendapat ekstrim individualistik dengan komen-komen emosional menaikkan kemarahan dengan sindiran menusuk dan kutukan meruntuh.
Lihat kebaikan untuk dihargai, teliti keburukan untuk dibaiki. Orang buat cara baik, kita balas dengan perkara yang lebih baik. Tapi orang yang bermula dengan cara yang buruk, adakah perlu dibalas dengan lebih buruk? Apalah bezanya antara kita dan mereka? Sama sahaja. Tak guna berbalas pernyataan yang sudah sedia diketahui kedua-dua pihak mempunyai hujah yang berbeza dan kedua-dua pihak tidak mahu menerima hujah pihak lain.
Berfikirlah secara matang, dan bertindaklah dengan profesional. Di hadapan ada 2 jalan yang berbeza. Bukan bezanya pada baik dan buruk kerana ianya mudah untuk dibuat pilihan. Tetapi, kedua-dua pilihan membawa kepada kesan yang buruk. Duduk sebentar, tenangkan fikiran sebelum melangkah, manakah antara kedua jalan tersebut membawa kepada kesan buruk yang paling minima?
aplikacja squid
8 years ago
Siapa marah dia kalah,
Siapa tenang dia menang.