"Para AJK sesi 2008/2009 dipersilakan untuk mengambil tempat bersama para perwakilan..". Ringan rasa kaki dihayun menuruti arahan Pengerusi Tetap. Beban yang selama ini terpikul di bahu, akhirnya ada jua penggantinya. Walaupun ianya kini bertukar milik, tapi aku tidak pasti entah berapa banyak tanggungjawab yang telah aku abaikan sejak aku diberi amanah memegang Unit Perumahan.
Hold My Hand - Maher Zain
Hold my hand,
There are many ways to do it right
Hold my hand,
Turn around and see what you left behind
Hold my hand my friend
We can save the good spirit in me and you
Form another chance
And let's pray for a beautiful world
The beautiful world I'll share with you
Terkadang rasa letih menjengah, perasaan malas membuas, menjadikan kerjaku semuanya dalam lewa. Sering juga niat terpesong dari landasan ikhlas, walaupun tangan gagah mengangkat, tapi hati lemah menangkis jelingan mata yang memandang. Telinga disumbat dengan pujian kesibukan, perut pula dipenuhkan dengan habuan makanan. Entah apalah yang tinggal untuk ganjaran di akhirat, bila semuanya telah mendatangkan hasil di dunia.
Diri ini lemah keseorangan. Kalaulah tidak kerana mereka di sekeliling yang menghulurkan tangan memberi pertolongan, sudah tentu aku jatuh tersungkur ditimpa beban yang makin memberat. Tersembam di muka bumi dengan kelukaan yang mungkin memutuskan asa meneruskan perjalanan yang masih panjang.
Kepada ahli rumahku terutamanya yang prihatin dan memahami tugasan yang ditaklifkan. Maaf andaikata aku banyak mengabaikan tanggungjawabku pada jadual yang disepakati bersama, serta kurang menghabiskan masa di rumah bersama. Terima kasih jua kerana sedia mendengar permasalahan, sudi memberi pandangan dalam setiap gerak kerja yang merumitkan.
Tidak lupa juga kepada semua ajk kecil yang sedia mengorbankan masa dan tenaga mereka di kala sukar menemukan individu yang sanggup menjalankan kerja dengan kerelaan. Maaf kerana aku tak dapat menawarkan apa-apa habuan yang setimpal dengan tugasan yang kalian laksanakan. Setiap kali aku mendail nombor kalian untuk meminta bantuan, setiap kali itu juga aku merasa segan untuk meluahkan hasrat yang tersimpan sedang kalian sudah sedia disibukkan dengan tugasan harian sebagai seorang mahasiswa.
Juga kepada kawan-kawan sekuliah yang tidak jemu-jemu memberi rangsangan supaya aku tidak tercicir dalam setiap pelajaran. Bila bersama kalian, hilang segala keletihan dan tekanan kerana dihiburkan dengan gurauan dan telatah yang melucukan. Aku seringkali dibayangi dengan sejarah hitam 2 tahun berturut-turut mereka yang memegang amanah ini, tahun tersebut menyaksikan kegagalan mereka untuk naik ke tahun berikutnya. Tapi berkat pertolongan kalian, sejarah hitam itu akhirnya dapat kita nafikan.
Demikian juga kepada beberapa komitmen yang terpaksa aku tolak ketepi. Maaf andaikata aku terkadang agak mendesak agar permintaan aku dituruti. Aku tahu setakat mana kemampuanku dan bila ianya hampir melepasi hadnya. Aku bukan tidak berani berubah, tapi aku tidak berani menanggung risiko. Aku sedar, aku mengurangkan masaku untuk dididik hanya kerana aku merasa tanggungjawab ke atas orang yang memberi amanah kepadaku lebih utama berbanding didikan yang mampu kalian berikan kepada diri ini. Terima kasih kerana memahami.
Meskipun kalian di sekelilingku sanggup membantu bebanan yang terzahir, ternyata bebanan yang terselindung dari pandangan luaran lebih berat untuk ku suakan kepada kalian. Aku jarang berbicara gundah di hati dengan tanggungan yang menimbun, dan dengan prestasi pelajaran yang makin menurun. Namun, aku bersyukur kerana dikurniakan ibubapa yang amat memahami. Mereka tak jemu bertanya khabarku, khabar kerjaku, khabar didikanku serta memberi kata-kata perangsang untukku tabahkan diri.
Tidak lupa juga penghargaan khas kepada penolongku. Ketahuilah bahawa kau banyak mengajarku erti menjadi seorang ketua. Aku dilantik mengetuai kalian sebelum sempat aku merasai nikmat-nikmat berada di bawah untuk menerima arahan. Kalaulah menerima arahan pun tidak mampu aku laksanakan, maka tidak layak untukku memberi arahan dengan harapan orang lain akan menerima arahan. Konflik antara kau dan aku menyedarkanku bahawa kita tidak sama pemikiran, tapi kita melengkapkan lompong-lompong kekurangan antara satu sama lain. Maaf kerana persepsi aku pada kau di permulaannya agak negatif. Tapi di pengakhiran, aku tahu bahawa kau juga telah cuba memberikan yang terbaik meskipun ianya tidak memuaskan hati semua pihak. Maaf jikalau secara sedar atau tidak, aku terlampau mendesak, terlalu mengarah, atau terlebih menghukum.
KepadaMu jua Ya Rabb. Terima kasih kerana memberikan bebanan yang setimpal dengan kemampuanku. Kau menolongku di kala aku kebuntuan dengan pertolongan di luar jangkaan. Kau memberikan ketenangan dan keyakinan bahawa segala yang Kau taklifkan adalah di dalam bidang kudratku. Kau mengujiku dengan amanah dan tanggungjawab untuk menyedarkanku akan hakikat kehidupanku di muka bumi ini. Semoga segala apa yang kulakukan sentiasa di bawah keredhaanMu..amiin
aplikacja squid
8 years ago
Post a Comment