Adaptasi Situasi




Kakiku melangkah lemah ke dewan kuliah. Pintu dikuak perlahan, risau kalau Dr. sudah memulakan kuliahnya. Keadaan masih lagi hingar bingar. Kelihatan seorang pelajar arab melompat dari satu kerusi ke kerusi untuk menghampiri kawannya yang berada di bahagian hadapan.

Aku meneruskan langkahan menaiki satu persatu anak tangga ke bahagian tengah dewan kuliah.
Di situ, beberapa orang anak melayu kelihatan sedang duduk sekelompok, tenggelam di balik tubuh-tubuh arab berbadan sasa. Aku menghampiri mereka. Beg yang disandang diletak ke tepi lantas aku mengeluarkan buku nota dan sebatang pen untuk mencatat pelajaran hari tersebut.

Dr. masih lagi membelek-belek powerpoint yang ingin dibentangnya. Pekerja pembantu pula berulang alik ke sana ke mari mencari kapur serta kain untuk diberikan kepada Dr. yang mengajar. Kemudian, pembantu tersebut keluar setelah memberikan pembesar suara kepada Dr.


15 minit setelah kuliah dimulakan, fikiran aku menerawang makin jauh entah ke mana. Suara Dr. tenggelam timbul di balik suara-suara pelajar arab yang bersembang sesama sendiri. Tulisan di hadapan juga tidak jelas kelihatan. Sedikit sebanyak walaupun masih boleh nampak abjad-abjad, tapi entah apa yang ditulis pun aku tidak tahu. Apa lagi nak memahami apa yang diucapkan oleh Dr. Telinga ini bagaikan dah naik letih menangkap butir-butir percakapan, dan otak ini sudah lelah cuba memahamkan apa yang ingin disampai. Maka mata pun sedikit demi sedikit terkatup rapat cuba merehatkan fikiran.


Begitulah lebih kurang situasinya di tahun pertama pengajian perubatan di Mansurah, Mesir. Pernah aku terasa setelah hampir seminggu di sana, ingin sahaja aku berlari pulang kalaulah jarak dari Mesir ke Malaysia seperti dari Kelantan ke Johor Bahru.

Aku hampir-hampir berputus asa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Di kala itu, timbul rasa kekesalan kerana meninggalkan bidang kejuruteraan di matrikulasi UIA yang memang aku minati sejak dari alam persekolahan. Adakah masih ada peluang untuk aku berpatah balik kepada permulaan di Malaysia, atau terus tabah meneruskan dugaan di Mesir.

Masalah bahasa, masalah budaya, masalah konflik diri, dan pelbagai lagi masalah yang menyebabkan aku merasakan yang aku tersilap memilih jalan. Tak sanggup lagi rasanya untuk aku tanggung keseorangan. Mujurlah ada yang sanggup mendengar dan memberikan kata-kata semangat untuk aku teruskan perjalanan.


Kini 4 tahun sudah berlalu. Detik-detik sukar satu-persatu cuba aku lepasi. Walaupun tidak berjaya kesemuanya, namun sekurang-kurangnya aku masih lagi di sini menghabiskan baki-baki perjalanan yang masih belum berkesudahan.

Ketika ini, Alhamdulillah aku rasakan pengorbanan buat bodoh dalam kuliah arab selama ini mula menunjukkan hasilnya. Meskipun agak mustahil untuk memahami setiap patah perkataan yang diucapkan oleh Dr. yang mengajar, namun sekurang-kurangnya, isi penting yang ingin disampaikan dapat ditangkap dan difahami, cuma perlukan usaha tambahan sama ada mengikuti tuisyen, atau rapat dengan kawan-kawan arab untuk menambahkan pemahaman.

Secara jujurnya, aku lebih suka kuliah dalam bahasa yang mudah disampaikan oleh Dr. sendiri, iaitu bahasa arab amiyyah. Bukanlah kerana ingin tunjuk pandai, tetapi jika Dr. mengajar dalam bahasa ibundanya, maka pelbagai cerita tambahan diselit serta maklumat-maklumat tambahan berdasarkan pengalaman Dr. tersebut akan dikongsikan bersama.

Tetapi keinginan tersebut aku lenyapkan kerana ingin menjaga hati rakan-rakan yang bertungkus lumus berusaha untuk mendapatkan kelas dalam english. Aku hanya mengikut, kerana aku tahu, maslahat untuk mereka masuk ke kelas english lebih besar berbanding maslahat yang aku dapat kalau terus dengan kelas arab.

Walaupun aku sedikit kecewa dengan mereka yang tidak ingin meningkatkan pengetahuan dalam bahasa amiyyah, kerana mungkin bagi mereka tempat praktikal nanti di Malaysia dalam english, dan bukan dalam bahasa arab amiyyah, namun itu bukanlah alasan yang sewajarnya diberikan untuk tidak ingin mengambil tahu langsung atau mencuba memahami bahasa di mesir ini.


Sedarlah bahawa bahasa Arab itu akhirnya kita akan dapat rasakan kepentingannya bila kita sudah terlepas peluang untuk mendalaminya kelak kerana kekangan masa dan umur. Mungkin suatu ketika nanti, timbul penyesalan kerana sudah separuh abad membaca Quran, namun tidak satu pun yang difahami. Sekadar meniti di bibir tanpa meresap ke dalam hati untuk diterjemahkan kepada perbuatan.
Selagi ada masa, ambillah peluang yang diberikan.

Kita tercampak di Mesir ini bukan secara kebetulan, tetapi pastinya di sana ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan kepada kita. Cuma akhirnya keputusan bergantung kepada kita sama ada ingin mengambil manfaat yang ada, atau membiarkannya berlalu sia-sia begitu sahaja.


Cubalah berubah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran, bukan memaksa persekitaran berubah untuk mengikut perasaan.

4 Responses so far.

  1. Anonymous says:

    salam..luahan hati yang ikhlas,,insyallah didoakan moga berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat...

    p/s ..zakiah abdullah mana ni...heee

  2. zulhakimi says:

    syukran terima kasih .. entry ni terbaik bagi menyelongkar apa yang terjadi dalam kuliah.. dan apa yang ingin disampaikan jelas..penguasaan bahasa arab.. dengan bahasa yg mudah..(tp he3 x aci.. anda almanar..) :)

  3. EamZ says:

    Hanif Mahmud:
    ameen.semoga dipermudahkan peperiksaan kalian.

    Zakiah Abdullah, lecturer Chemistry AllHS di MCIIUM.mungkin boleh rujuk pos2 sebelum ni ttg beliau :)

    Zulhakimi: afwan.
    kita belajar bahasa arab fushah, tapi arab di Mesir amiyyah. perlukan masa utk adapt dgn suasana di sini.