Disebabkan bas yang kami naiki agak sesak, maka kami terpaksa berdiri sepanjang perjalanan. Tangan kiri memegang tiang bas, sementara tangan kanan pula digunakan untuk membuka bungkusan makanan yang kami beli sebentar tadi. Makanan tersebut kemudiannya dibahagi-bahagikan antara kami beberapa orang.
Habis sahaja memakan makanan tersebut, bungkusan makanan yang dipegang oleh kawan aku tadi dimasukkan ke dalam poketnya sementara menunggu dipindahkan ke tong sampah yang berhampiran. Namun bungkusan makanan itu tidak tahan lama di situ.
Perbuatan kawan aku itu dilihat oleh seorang makcik yang duduk berdekatan dengan kami. Lantas dia meminta bungkusan makanan tersebut. Mulanya kawan aku teragak-agak untuk memberinya, namun akhirnya beliau akur lantas mengeluarkan kembali bungkusan makanan yang telah habis tadi dan memberinya kepada makcik tersebut.
Tanpa berlengah, bungkusan makanan itu diambil lantas dicampaknya keluar melalui tingkap bas yang terbuka. Bungkusan makanan yang layak dipanggil sampah itu akhirnya terbang ditiup angin yang menderu membelah jalanraya kota Kaherah.
Aku dan beberapa kawan aku terpinga-pinga dengan sikap makcik tadi. Melihatkan reaksi kami yang seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat, maka makcik itu pun membalas : "Aib..aib.." (memalukan kalau SIMPAN sampah)
[Egypt:post-revolution]
* * * * *
Suatu tengahari di Mansurah, aku singgah sebentar untuk servis basikal yang terputus tali breknya. Sepeti biasa, pakcik kedai basikal tersebut mesra menyambut aku yang datang di tengah panas terik mentari itu ke kedainya.
"Sekejap ye, 10 minit je lagi. Aku nak betulkan basikal ni dulu", ujarnya. Aku hanya mengangguk, lantas basikalku ditongkatkan dan aku mengambil kedudukan separa selesa sementara menanti basikalku dibaiki.
Sedang enak menikmati panahan mentari, aku ternampak seorang pakcik baru membuka kedainya di seberang jalan. Peralatannya dikeluarkan satu demi satu dan disangkut di luar bahagian kedai.
Selesai memperagakan barangannya, beliau keluar ke perkarangan kedai. Di situ ternampak beberapa longgokan kecil plastik pembalut makanan dan beg plastik yang diterbangkan oleh angin entah dari mana sumbernya. Lantas pakcik itu tadi menghayunkan kakinya sambil menguis sampah sarap tersebut ke halaman kedai berhampiran. Aku hanya tersengih melihat telatah pakcik tersebut. Kagum dengan cara penyelesaiannya.
* * * *
Fitrah manusia inginkan kebaikan,
naluri manusia sukakan kebersihan.
Biarlah bersih itu menghilangkan sisa-sisa kotoran,
bukan bersih sementara yang membawa kepada lebih banyak pencemaran,
tidak juga sekadar bersih di sini tetapi mengotorkan lain-lain bahagian.
Post a Comment