Sampai::Syurga

Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Sekejap-sekejap dagunya didongakkan ke siling dewan, tapi apa yang dicarinya masih tidak ketemu. Lenguh mendongak, tangannya ditopangkan ke bawah dagu. Teman-teman sekelilingnya masih lagi khusyuk menatap kertas soalan sambil jemari dibiarkan melenggok atas kertas jawapan meluahkan tafsiran fikiran. Masa masih lagi berbaki setengah jam sebelum kertas jawapan diambil oleh penjaga peperiksaan. Tapi, hatinya terseksa melihat kawan-kawannya yang masih menulis dan membelek kertas jawapan untuk menyambung penulisan. Jiwanya pula bagaikan meronta-ronta meminta dikeluarkan dari bahang tekanan. Namun, tubuhnya terasa berat untuk bangun dari bangku melangkah keluar dewan.



“Ah..seksanya menunggu..” desus hatinya. Kertas jawapan yang berada di tangannya dibelek-belek setiap helaian dengan harapan ianya dapat menghabiskan waktu yang masih berbaki. Fikirannya buntu melihat lompong-lompong yang ditinggalkan. Bukannya dia tidak mahu menjawab, tapi, tak tahu apa lagi jawapan yang boleh dibantainya. Risau kalau-kalau pensyarah yang memeriksa kertas jawapannya mengeluh kerana lain yang diajarnya, lain pula yang difahami oleh pelajar-pelajarnya Walhal, bukannya salah pensyarah yang mengajar, tapi sebenarnya pelajar yang malas belajar.



Setelah berkira-kira sendirian menghabiskan hampir 5 minit daripada masa yang masih berbaki, dia nekad untuk menyerahkan kertas jawapan. “Tawakkal jelah..moga-moga lembut hati pensyarah bila menanda kertas aku ni, sekurang-kurangnya tenang dengan tulisan tangan aku yang boleh tahan sikit banding tulisan budak-budak arab yang lain” pujinya sendirian untuk menenangkan hatinya yang masih tidak keruan. Kertas jawapannya disuakan tanpa teragak-agak kepada penjaga yang berada di hadapannya. Kakinya bersedia untuk melangkah meninggalkan tempat keramat itu.



Sempat lagi dia mengalih pandangan pada kawannya Zikri yang masih lagi tunduk menulis. Konsentrasi Zikri sedikit terjejas melihat kawannya Ezam berjalan di sebelahnya. Mukanya sedikit terkejut. “Keluar sebab dah siap ke, atau tak mampu nak siap..?” terlintas pertanyaan tersebut di benak Zikri. Ezam hanya mengukir senyuman, menyembunyikan perasaannya yang bergelojak. Langkahnya dipercepatkan. Di luar, bahang dari terik mentari hampir 30 darjah Celcius membakar kulitnya menyebabkan perjalanan ke rumah yang hanya mengambil masa 15 minit amat seksa dirasakan.



“Sejak bila agaknya aku mula bertawakkal…?” monolog dalaman mula bermain di mindanya.

“dan sampai bila asyik nak bertawakkal….?Asal susah je dan macam tak ada harapan, baru nak tawakkal, selama ni melepak membuang masa tak ada pula nak tawakkal…”.

“Eh…kejap..masa senang pun nak kena tawakkal jugak ke..?” sudut hatinya memintas apa yang difikirkannya sebentar tadi.

“Susah je baru nak tawakkal, senang tak perlu tawakkal..macam tu ke..?” akalnya cuba menyimpulkan.



Memorinya pula cuba mencari teori yang pernah didengarinya dari kawannya. “Tawakkal itu adalah segala pergantungan kita kepada Allah, tak kiralah sama ada benda senang ke susah. Cuma yang menjadi masalah, bila susah je baru kita nak ingat Allah, walhal bila tengah senang, terus hilang rasa pergantungan kepadaNya.” Teori yang termaktub dalam buku Perbaiki Hati karangan Amru Khaled, seorang pendakwah yang amat dikenali oleh kebanyakan remaja di bumi Mesir ini, selain nama Amru Dhiab, yang bukan setakat remaja Mesir sahaja, bahkan mereka yang bakal belajar di Mesir juga lebih kenal nama ini berbanding Amru Khaled.



Dia cuba mencari sejauh mana realiti tersebut dalam kehidupannya seharian. Bermula dari helaian buku pelajaran yang diselak, bukankah secara automatik dia telah bertawakkal kepada Allah kerana tak tentu semua yang dihafalnya mampu diingat. Dia bertawakkal supaya ilmunya dapat dimanfaatkannya untuk peperiksaan dalam jangka masa pendek, dan untuk kerjaya bila dia pulang ke Malaysia untuk jangka masa yang panjang. Dia tahu, walau dengan apapun kelebihan yang ada pada dirinya, mustahil untuk dia menjamin ilmunya akan kekal selamanya, tapi dia berusaha serta bertawakkal dalam masa yang sama. “Bukankah itu juga dikategorikan sebagai pergantungan..?”. Jawabnya sendirian.



Sedar tak sedar, dia sudah tercegat di hadapan pintu rumahnya. Tangannya menyeluk kocek seluarnya mencari kunci pintu. Tombol pintu dipulas.“Eh, banyaknya selipar, siapa pula yang datang ni..?.macam mana diorang boleh masuk..? Ada yang habis awal dari aku ke ni..?” Matanya cuba mencari kepastian. ”Ingatkan aku yang paling awal keluar dewan tadi..”



[Cerita ini adalah tentang ‘dia’..Aku cuma menyampaikan dalam bentuk tulisan dengan banyak tambahan. Ianya tak berkaitan dengan orang yang sudah mati atau alam selepas kematian, tapi berkisar tentang kehidupan manusia yang masih hidup. Kalau ada yang terasa bahawa cerita ini tentang dia, jangan terasa lebih-lebih ye~..Maaf atas kekurangan]

One Response so far.

  1. satu bentuk olahan cerita bersahaja..tp banyak isi nasihat yg boleh diambil..

    konsep tawakal yg cube dipertengahkan amat bagus

    teruskan usaha eamz!!

    **eamz dgn macho dan mukanya begitu tenang menjawab soklan2..